Mengatasi anak mengamuk bukan perkara mudah. Tajuk kali ini
adalah bagaimana kita mengawal anak yang mengamuk. Tindakan serta cara kita
mengendalikan anak sangat penting dalam pembentukkannya. Temper tantrum atau
sindrom mengamuk sering berlaku di kalangan kanak-kanak kerana ini juga salah
satu cara mereka berkomunikasi.
Anak-anak sebesar ini masih rendah tatabahasa dan bilangan
perkataan yang diketahuinya. Cara mudah dan cepat untuk dia memberitahu sesuatu
adalah dengan menangis dan mengamuk.
Bukan mudah mengendalikan anak yang mengamuk jika kita tidak
tahu cara yang paling baik bagi menanganinya. Ramai juga di kalangan ibubapa
yang mengambil jalan mudah dengan memukul, menjerit dan memarahi anak dengan
harapan anak akan berhenti mengamuk. Namun cara begitu lebih banyak memberikan
impak negatif kepada anak-anak.
Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan jika anak
mengamuk. Antaranya:
Hanya ibu bapa yang mengetahui bila anak akan mengamuk.
Kenali tanda-tandanya dan anda akan lebih bersedia jika anak anda mula
mengamuk.
Alihkan perhatiannya. Jika anda sudah nampak tanda-tanda
yang dia mahukan sesuatu dan anda tidak dapat memenuhi hajatnya itu dan akan
mencetuskan kemarahannya, cepat-cepat alihkan perhatiannya.
Beri pilihan. Jika anak mula mengamuk, berikan dia pilihan,
samada dia mahu bersikap baik dan tidak dimarahi anda. Katakan kepadanya jika
dia bersikap baik, anda akan menjanjikan sesuatu seperti menonton televisyen
atau membaca bersama.
Biarkan. Jika pujukan tidak menjadi dan anak anda terus
menghentakkan kaki atau berguling di atas lantai, biarkan dia. Namun pastikan
keadaan sekelilingnya selamat dari barang-barang yang membahayakan.
Nasihat. Anak yang mengamuk tidak akan mengamuk sepanjang
hari. Dia pasti penat juga akhirnya. Pada waktu begini, anda belailah dia dan
katakan kepadanya bahawa apa yang dia lakukan sebentar tadi adalah salah dan
dia akan lebih disayangi jika dia bersikap baik dan mendengar kata.
Bersifat tegas. Sesekali bertegas dengan anak. Jika dia
mengamuk, katakan bahawa anda akan potong waktu bermainnya. Biar dia belajar
bagaimana perasaan marah dan kecewa. Terangkan dengan jelas mengapa tindakan
itu anda ambil.
Bolehkah anak kecil memahami apa yang dikatakan oleh kita?
Sudah tentu! Walaupun mereka kecil, mereka tahu ketika mana
ibu bapanya marah, sayang, gembira, benci mahupun kecewa. Selalulah
berkomunikasi dengan anak dan berbual dengan mereka tentang apa yang mereka dan
anda suka. Nasihat yang berpanjangan akan mengurangkan temper tantrumnya.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment