Sunday 9 November 2014

AMALAN MAKANAN SELEPAS BERSALIN

Khas untuk ibu-ibu lepas bersalin, hari ini saya akan kongsikan amalan pemakanan selepas bersalin (post-natal) khasnya untuk ibu yang menyusu. Kaedah penyusuan susu ibu memberikan banyak kelebihan dan kebaikan kepada ibu dan bayi. Ikatan yang terjalin antara ibu dan anak selalunya bermula dengan hubungan fizikal dan pandangan mata ketika penyusuan. Selain memberikan bayi gabungan lengkap sistem antibodi, vitamin, protein dan lemak untuk bayi membesar secara sihat, bayi yang meminum susu ibu berisiko rendah mendapat asma atau alahan.

1. Makan lebih kerap dan secara sihat
Untuk menghasilkan susu badan yang berkualiti tinggi untuk bayi, selepas bersalin seorang ibu perlu memastikan keperluan nutrisi pemakanannya dijaga. Secara purata, seorang ibu yang menyusu memerlukan 450 kalori didalam diet seharian.

2. Tingkatkan pengambilan Protein tanpa Lemak
Protein tanpa lemak yang terkandung di dalam ikan, telur, ayam dan tauhu membantu badan selepas bersalin untuk sembuh dengan segera. Selaras dengan keseimbangan aktiviti senaman selepas bersalin, protein tanpa lemak juga mampu membantu ibu mendapat kembali kekuatan otot-ototnya.

3. Biji-bijian, kacang dan ikan untuk minda
Makanan yang kaya dengan asid Dokosaheksaenoik (DHA) adalah penting untuk perkembangan otak, saraf dan retina. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan DHA di dalam diet mempunyai kaitan dengan IQ yang rendah pada kanak-kanak, kehilangan daya ingatan, kemurungan dan masalah visual. Sumber makanan lain yang mengandungi DHA termasuklah telur dan jintan.

4. Zat Besi dan Vitamin C untuk kecergasan dan kesihatan
Serikan wajah dengan mengambil makanan yang kaya dengan zat besi seperti sayur-sayuran hijau, daging merah, ikan, daging ayam dan itik. Zat besi membantu untuk mengawal sebarang simptom awal anemia dengan membina lebih banyak sel-sel darah merah. Vitamin C yang terkandung di dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan jus buah-buahan segar membantu meningkatkan kemampuan tubuh untuk menyerap zat-zat besi.

5. Ambil Kalsium utuk tulang-tulang yang kuat
Pertubuhan Osteoporosis Antarabangsa menganggarkan kira-kira 200 juta wanita di seluruh dunia mengalami osteoporosis. Dengan mengambil makanan yang kaya dengan kalsium seperti yang terkandung di dalam produk tensusu, seorang wanita mampu memperlahankan pengurangan dalam kepadatan tulangnya disebabkan osteoporosis.

6. Minum Banyak Air
Kandungan air yang tinggi di dalam susu ibu menyebabkan seorang ibu perlu mengekalkan tahap hidrasinya dengan mengambil lapan ke sepuluh cawan air, jus segar dan susu. Ini dapat membantu mengekalkan keseimbangan cecair di dalam badan, disamping membantu ibu dalam keadaan bertenaga.

No comments: